Kisah Tauladan Buat Wanita...

Assalamualaikum...

~~Kisah yang mungkin telah berlaku dan sedang berlaku tika ini. Di harap ia boleh di ambil peringatan buatmu duhai wanita.......
kisah ini bermula begini........


"Sudikah awak menjadi isteri kedua saya?" tanya Ahmad tegas dan yakin.
Tiba-tiba mata Aisyah merah, airmata mula bergelinangan di kelopak matanya.
"Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat!! Sampai hati awak mempermainkan hati saya. Awak ingat saya ni tak ada maruah? Awak ingat saya ni kemaruk sangat ke nak kahwin dengan awak?Dasar lelaki!!! pekik Aisyah dengan suara tersekat-sekat.

********


Mata Ahmad liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Aisyah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Aisyah langsung tidak selari dengan penampilannya. "Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya.........." Aisyah bertambah sebak. Pedih di hatinya dilukai begini.


*******



"Tak. Maksud saya...."
"Sudah! Jangan cakap apa-apa lagi. Saya tak mahu dengar penjelasan awak. Cukup!! potong Aisyah dengan kasar.
" Awak nampak macam alim. Tapi tak sangka awak sanggup menipu saya..dan berani awak melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa??" suara Aisyah semakin tinggi, setinggi egonya.


********


Ahmad diam seribu bahasa. Dia sudah tahu siapa "Aisyah" di sebalik Aisyah yang dia kenal selama ini. Aisyah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Ahmad seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu. Ahmad muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.

*******


"Ada hikmah. " bisik hati kecil Ahmad, sekecil pandangannya terhadap Aisyah.

*******


Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Ahmad sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak. Keyakinan serta keaktifan Ahmad berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam persatuannya. Malah, Ahmad dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianuti sejak sekian lama.

Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya. Namun, Aisyah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Ahmad. Bagi Aisyah, Ahmad seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Ahmad melamarnya menjadi isteri kedua.


********


Ahmad masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Aisyah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Aisyah, namun sikap Aisyah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Ahmad tersebut.

Bagi Aisyah, Ahmad tak ubah seperti lelaki lain. Gerak kerja dakwah Ahmad berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu ke hilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Ahmad semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya. Namun, Allah swt Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi DIA menghantar seorang wanita bagi menguji Ahmad- sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Ahmad.

********


Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Ahmad dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Ahmad sekali lagi gusar, takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Ahmad menemui Tuhannya. Namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti sikap Aisyah atau tidak? Ahmad bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Ahmad berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya.

*******


Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Ahmad mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Aisyah. "Sudikah awak menjadi isteri kedua saya?" tanya Ahmad penuh yakin.
"Sudi," jawab Nusaibah ringkas.
"Er, betul ke ni?" tergagap Ahmad menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin. Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Ahmad.
" Kenapa saya?" tanya Ahmad ingin tahu.
"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.
"Baiklah," jawab Ahmad tersenyum bahgia.

*******


Akhirnya, Ahmad dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini. Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Ahmad terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Ahmad semampu mungkin. Setiap kali turun lapangan untuk berdakwah, Ahmad membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya. Kadang-kadang letih menyinggah diri Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Ahmad. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.

*******


" Abang, saya nak tanya sikit boleh?" sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.
"Ye sayang?" jawab Ahmad sambil memandu.
"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang," luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.
"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Ahmad menoleh sedikit ke wajah Nusaibah sambil tersenyum.
"Yeke? Dia datang program tu ye," jawab Nusaibah riang.

*******

Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu gerak kerja dakwah suaminya. Di sudut hati Nusaibah, dia merasa rendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Ahmad yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Ahmad aktif dalam dakwah sebelum ini.

*******


"Kita dah sampai," Ahmad membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail ditangannya. Ahmad berdiri mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.
"Itulah isteri pertama abang," Ahmad menuding jari ke arah khemah tersebut.
"Mana bang?" Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Ahmad.
'Tak nampak pun," Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.
"Siapa nama isteri pertama abang?," Nusaibah bertanya penuh debaran.
Ahmad tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.
"PERJUANGAN," jawab Ahmad ringkas.

Nusaibah agak terkejut pada mulanya, namun kembali tenang. Senyuman manis diberikan buat suami tersayang. Akhirnya, Nusaibah dapat juga mengenali siapakah isteri pertama suaminya.."isteri pertama suamiku ialah PERJUANGAN ISLAM,"Nusaibah bermonolog sendirian sambil tersenyum puas.



*******************

~~~~Sedarlah wahai muslimah serikandi dan perwira Islam...kalian akan dimadukan!
Jika dirimu bakal seorang isteri...Terimalah kenyataan bahawa anda akan dimadukan, bahkan anda bukan isteri pertama yang bakal dikahwini tetapi anda adalah bakal isteri kedua kerana isteri pertama bagi suamimu ialah perjuangan Islam! Perkahwinan ini telah lama berlangsung...kehadiran dirimu adalah untuk bersama berganding bahu memperjuangkan Islam bukan menjadi batu penghalang perjuangan suamimu. Janganlah jadikan dirimu sebagai punca serta merendahkan harga dirimu dengan terjadinya penceraian suamimu dengan isterinya yang pertama iaitu PERJUANGAN ISLAM!!


Renung-renungkan..

Sumber: Ukhti Norsaiedah Jamaludin


No comments:

Post a Comment