Puisi Ku Untuk Mu....

Di kejauhan
ku memandang ke dada laut
mengalun suara hati membicarakan
sesuatu pada sang ombak
yang galak menemani bicara sepi hatiku
dia mendamaikan hati melagukan irama
menghibur jiwa...

Pada ombak ku bisikkan
aku rindu pada wajah itu
aku rindu pada suaranya
aku rindu pada gelak nakalnya.

Embun...
wujudnya kala dinihari
hadirnya pada waktu
sunyi berirama alam
titisannya membekas rasa
pada hamba yang berteman sepi
sepi itu malam
dan hamba itu adalah insan
begitulah ku ibaratkan hadirnya dia
persis nama indah
ku kenali di alam maya.
datang menemani insan sepi sepertiku.

Hadirnya dia
mengetuk kamar hatiku
lantas ku buka
lalu terjah titisnya embun
menyejukkan jiwa
kasih tertaut rindu tersulam
bahagia mewarnai taman hati.
tidak akan aku tutup pintu kamar ini
kerana aku ingin titisannya
sentiasa menerobos ruang waktu
kala aku mencari kasih bahagia di sisiNYA.
suka tawa ku bersambut
duka derita ku dirasai
jerit perit sakit ku ditemani
mana mungkin aku menutup pintu kamar ini
sedang dia memiliki segugus kunci
ditusuk saja pasti terbuka.
lalu ingin aku biarkan saja dia menerpa
memeluk dinding hatiku
aku ingin sentiasa merasai dakapannya
persis embun melatari lantai alam
kala malam mencari siang..

Aku ingin damai bersamamu
persis embun
menyentuh hati penyejuk jiwa
mendamaikan cakerawala alam syurga hati
milik yang kekal Abadi
terima kasih embun kerana
menyentuh hatiku dengan titisan kasihmu
moga kau dan aku
berteman bahagia beriringan senyuman
menuju negeri kekal Abadi
itulah dia al jannah
syurga Allah dambaan hati setiap insan
yang hidup berteman Pecinta setia.

Ombak...
terima kasih kerana setia
mencipta melodi indah
menemani luah bicaraku
melagukan irama yang cukup puitis
bakal ku nyanyikan pada dia
yang menanti gemersik suara hatiku..
warna senja mula menabiri malam
izinkan aku pergi meninggalkanmu
buat seketika waktu
pasti akan ku kembali lagi
mendengar melodi indah mu
yang mendamaikan jiwaku
terimalah senyum hadiahku untukmu
ombak atas setia kasihmu
menemani hatiku ini........

Pantai alam @ 7.15p.m

No comments:

Post a Comment